Servis Bioenergi Rasmi · Malaysia
← Kembali ke Siri Memahami Bioenergi

Siri Memahami Bioenergi · Siri 9

Sejauh Mana Bioenergi Boleh Dimanfaatkan?

Siri 9 — Sejauh Mana Bioenergi Boleh Dimanfaatkan?

SIRI 9 — SEJAUH MANA BIOENERGI BOLEH DIMANFAATKAN?

Topikkegunaan bioenergimanfaat bioenergiterapi bioenergipemulihan tubuhstamina dan tenagamental dan emosikualiti hidupbioenergi haiwan dan tumbuhanbatas terapi bioenergirawatan komplementari

Dalam Siri 8 kita sudah lihat apa yang sebenarnya cuba dilakukan melalui tindakan Bioenergi.

Secara asasnya, ada dua pendekatan utama:

mengurangkan atau menyingkirkan gangguan

dan

membantu meningkatkan fungsi tertentu.

Tujuannya ialah mewujudkan keadaan yang lebih baik supaya sistem biologis yang hidup dapat menjalankan fungsinya sendiri.

Tetapi penggunaan Bioenergi sebenarnya tidak terhad kepada keadaan seseorang sedang sakit.

Ruang penggunaannya lebih luas.

KESIHATAN DAN PEMULIHAN

Ini mungkin penggunaan yang paling mudah difahami.

Apabila seseorang mempunyai sesuatu masalah kesihatan, tindakan Bioenergi boleh digunakan sebagai sokongan kepada tubuh yang hidup.

Seperti yang kita bincangkan dalam Siri 8, Bioenergi bukan mengambil alih tugas tubuh.

Jika terdapat gangguan tertentu, tindakan boleh diarahkan untuk membantu mengurangkan gangguan tersebut.

Jika sesuatu fungsi perlu disokong, tindakan boleh diarahkan kepada fungsi yang berkaitan.

Selepas itu, tubuh sendiri yang perlu memberi respons dan menjalankan proses pemulihannya.

Jadi Bioenergi dalam konteks kesihatan lebih tepat dilihat sebagai sokongan kepada kerja sistem biologis, bukannya pengganti sistem tersebut.

STAMINA DAN KESELESAAN TUBUH

Bioenergi juga tidak semestinya digunakan hanya apabila seseorang sakit.

Ada orang yang tidak mempunyai masalah kesihatan yang berat tetapi:

mudah letih,

kurang bertenaga,

tidak begitu selesa,

atau merasakan tubuh tidak berada pada keadaan terbaik untuk menjalankan aktiviti.

Dalam keadaan seperti ini, penggunaan Bioenergi boleh diarahkan kepada kualiti fungsi tubuh.

Tujuannya bukan semestinya untuk “merawat penyakit”.

Ia boleh digunakan untuk membantu tubuh berada dalam keadaan yang lebih bertenaga, stabil, selesa atau bersedia menjalani aktiviti harian.

Ini membuka satu pemahaman yang lebih luas.

Bioenergi bukan hanya tentang pemulihan. Ia juga boleh berkaitan dengan bagaimana tubuh berfungsi ketika kita menjalani kehidupan biasa.

MENTAL DAN EMOSI

Tubuh manusia pula bukan hanya fizikal.

Keadaan mental dan emosi turut mempengaruhi bagaimana seseorang menjalani kehidupannya.

Sebab itu penggunaan Bioenergi juga dibincangkan dalam konteks seperti:

ketenangan,

kestabilan respons,

rasa lega,

fokus,

dan kemampuan menghadapi tekanan.

Kita boleh kaitkan semula perkara ini dengan sistem yang sudah dibincangkan dalam Siri 7.

Bioenergi Sistem Saraf, Sistem Pernafasan dan Sistem Pengendalian Mental misalnya mempunyai fungsi yang berbeza, tetapi semuanya boleh mempunyai kaitan dengan bagaimana seseorang bertindak balas terhadap keadaan yang dihadapinya.

Namun perkara ini juga perlu diletakkan pada tempat yang betul.

Penggunaan Bioenergi dalam konteks mental dan emosi bukan bermaksud ia menggantikan kaunseling, psikologi atau psikiatri apabila perkhidmatan tersebut diperlukan.

Ia lebih sesuai difahami sebagai satu bentuk sokongan yang boleh membantu seseorang berada dalam keadaan yang lebih tenang, stabil atau bersedia menghadapi sesuatu beban.

KUALITI HIDUP

Kemudian ada satu kawasan yang jauh lebih luas.

Kualiti hidup.

Seseorang tidak semestinya sakit atau mempunyai masalah tertentu untuk mahu memperbaiki keadaan dirinya.

Mungkin seseorang mahu:

lebih fokus ketika bekerja,

lebih selesa menjalani aktiviti,

lebih mantap,

lebih bersedia menghadapi tekanan,

atau secara umum berada dalam keadaan yang lebih baik.

Dalam konteks seperti ini, Bioenergi boleh digunakan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong kualiti kehidupan seseorang.

Jadi apabila kita bercakap tentang Bioenergi, jangan bayangkan ia hanya muncul apabila seseorang sakit.

Skopnya boleh melibatkan pemulihan, fungsi, stamina, keselesaan, mental, emosi dan kualiti hidup secara umum.

BUKAN MANUSIA SAHAJA

Masih ingat definisi Bioenergi yang kita bina sejak awal siri?

Bioenergi berkaitan dengan makhluk biologis yang hidup.

Manusia bukan satu-satunya makhluk hidup.

Haiwan hidup.

Tumbuhan juga hidup.

Sebab itu dalam kerangka yang kita gunakan, Bioenergi juga boleh dibincangkan dalam konteks haiwan dan tumbuhan.

Pada haiwan, ia boleh dikaitkan dengan keselesaan, kestabilan keadaan dan sokongan kepada fungsi hidup.

Pada tumbuhan pula, perbincangannya boleh melibatkan keadaan hidup, pertumbuhan, daya tahan dan respons terhadap persekitaran.

Bahagian ini sebenarnya membawa kita kembali kepada asas yang kita bina sejak Siri 1.

Bioenergi bukan konsep yang terhad kepada manusia. Ia berkaitan dengan kehidupan.

Tetapi apabila kita bercakap tentang begitu banyak kemungkinan penggunaan Bioenergi, ada satu bahagian yang tidak boleh ditinggalkan.

Batasnya.

Kalau bahagian ini tidak diterangkan, Bioenergi sangat mudah berubah daripada satu bidang yang boleh dibincangkan dengan jelas menjadi sesuatu yang kononnya boleh melakukan segala-galanya.

Dan itu bukan cara yang baik untuk memahaminya.

BIOENERGI BUKAN PENGGANTI DIAGNOSIS PERUBATAN

Ini perlu jelas.

Tindakan Bioenergi dan diagnosis perubatan adalah dua perkara yang berbeza.

Diagnosis perubatan mempunyai kaedah, pemeriksaan, ujian makmal, pengimejan dan penilaian klinikalnya sendiri.

Bioenergi tidak menggantikan semua itu.

Kalau sesuatu keadaan memerlukan pemeriksaan doktor, ujian darah, X-ray, imbasan atau penilaian perubatan lain, keperluan tersebut tetap ada.

Penggunaan Bioenergi tidak menghapuskan keperluan tersebut.

JANGAN TANGGUH PEMERIKSAAN YANG DIPERLUKAN

Ini sambungan terus daripada perkara tadi.

Kalau sesuatu keadaan:

semakin berat,

semakin memburuk,

tidak jelas puncanya,

atau mula mengganggu kehidupan dengan serius,

jangan gunakan Bioenergi sebagai alasan untuk terus menunggu sedangkan pemeriksaan sebenarnya diperlukan.

Bioenergi boleh digunakan dalam konteks yang sesuai.

Tetapi ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menutup mata terhadap perkara lain yang perlu dilakukan.

TAK SEMUA MASALAH SESUAI DENGAN PENDEKATAN YANG SAMA

Manusia tidak sama.

Keadaan tubuh tidak sama.

Beban yang dihadapi tidak sama.

Tahap gangguan tidak sama.

Dan sistem biologis setiap orang juga tidak semestinya memberi respons dengan cara yang sama.

Sebab itu satu pendekatan yang memberi hasil yang baik kepada seseorang tidak semestinya memberi hasil yang sama kepada orang lain.

Begitu juga kalau sesuatu pendekatan tidak memberi hasil kepada seorang individu.

Itu juga tidak cukup untuk membuktikan bahawa semua penggunaan Bioenergi tidak mempunyai nilai.

Setiap keadaan perlu dinilai berdasarkan konteksnya.

HASIL BOLEH BERBEZA

Dalam Siri 8 kita sudah bincangkan beberapa faktor yang boleh mempengaruhi hasil.

Keadaan sistem biologis.

Berat atau ringannya gangguan.

Kemampuan tubuh untuk memberi respons.

Kemampuan terapis.

Dan kerjasama sepanjang proses.

Sebab itu kita perlu berhati-hati dengan perkataan seperti:

“pasti”

“100%”

“semua orang”

atau

“confirm berjaya”.

Makhluk hidup tidak semudah itu.

Dua orang boleh menerima tindakan yang sama tetapi memberi respons yang berbeza.

BERHATI-HATI DENGAN DAKWAAN YANG TERLALU BESAR

Ini mungkin salah satu perkara paling penting dalam keseluruhan siri.

Bidang Bioenergi mudah dipenuhi dengan dakwaan kerana banyak istilah yang digunakan kedengaran luar biasa.

Ada yang kedengaran tradisional.

Ada yang spiritual.

Ada pula yang menggunakan istilah yang kedengaran sangat saintifik.

Tetapi nama atau istilah yang hebat bukan bukti bahawa sesuatu dakwaan itu benar.

Sebab itu apabila mendengar sesuatu dakwaan berkaitan Bioenergi, jangan terus percaya hanya kerana penerangannya kedengaran meyakinkan.

Tetapi jangan juga terus menolak hanya kerana perkara itu belum biasa didengar.

Lebih baik tanya:

Apa sebenarnya yang dikatakan boleh dilakukan?

Bagaimana ia dikatakan bekerja?

Apa batasnya?

Bagaimana hasil dinilai?

Dan adakah kemungkinan untuk ia tidak berhasil turut diterangkan?

Sikap berhati-hati bukan bermaksud menolak Bioenergi.

Ia bermaksud kita mahu memahami apa yang sebenarnya ditawarkan sebelum membuat kesimpulan.

Selepas sembilan siri, kita sudah bergerak agak jauh.

Daripada persoalan paling asas...

Apa itu Bioenergi?

kita sudah sampai kepada:

Qi,

perbezaan Qi dan Bioenergi,

istilah tradisional,

sistem-sistem Bioenergi manusia,

bagaimana tindakan Bioenergi dilakukan,

kegunaannya,

dan sekarang batasnya.

Tinggal satu persoalan terakhir yang sangat praktikal.

Kalau seseorang mahu menggunakan sesuatu servis Bioenergi, bagaimana dia boleh menilai servis itu dengan lebih bijak?

Apa yang patut ditanya?

Apa yang patut diperhatikan?

Dan bagaimana kita membezakan penerangan yang jelas daripada sekadar dakwaan yang kedengaran hebat?

Kita tutup keseluruhan perjalanan ini dalam Siri 10.